SIBU: Pembinaan Sibu Active Youth Space (SAYS) di Dataran Tuanku Haji Bujang Fasa II kini 40 peratus siap.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee berkata, beliau sendiri telah melawat ke tapak projek berkenaan pada Isnin (10 Ogos 2020) untuk melihat perkembangannya.
“Terlebih dahulu, kami meminta maaf kerana projek ini mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan.
“Ada yang tampil, meluahkan mereka sudah berbelas tahun mengimpikan sebuah skate plaza yang ada pelbagai ‘hurdles’.
“Jadi kami jadikan impian peminat X-Games ini sebagai satu panduan. Kami bawa mereka berbincang duduk semeja mencari titik tengah rekaan yang sesuai untuk peminat papan selaju, basikal BMX dan kasut roda,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya semalam.
Menurut Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu, SAYS bakal mempunyai 15 bentuk halangan untuk penggemar sukan lasak antaranya Quarter Pipe, Railing, Kicker, Fun Box,Wall to Barrier dan sebagainya.
“Untuk belia X-Games Sarawak. Ini untuk anda. Jagalah kemudahan ini baik-baik bila sudah siap nanti,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk pembinaan taman papan selaju.
Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menjadi agensi pelaksana bagi projek membina skate plaza sepanjang 100 meter berkenaan.