
BINTULU: Beberapa jalan utama di sekitar Bandar Bintulu akan ditutup sementara bermula esok (2 Ogos) bagi memberi laluan kepada penganjuran Maraton Bintulu 2025 (BM2025) yang dijadual berlangsung pada 3 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, penutupan ini membabitkan lima lokasi utama iaitu Jambatan Tun Taib Mahmud, Jalan dari Bulatan Tun Ahmad Zaidi ke Jambatan Tun Taib Mahmud, Jalan Paragon dan Jalan Tun Razak yang akan ditutup sepenuhnya bermula 12.30 tengah malam (2 Ogos) hingga 10.00 pagi pada 3 Ogos.
Manakala penutupan di Tapak Lasar Kenyalang (Lapangan Terbang Lama) akan bermula lebih awal iaitu pada 8.00 malam (2 Ogos) dan akan dibuka semula pada 10.00 pagi keesokannya.
Sepanjang tempoh penutupan, kawalan lalu lintas akan dikendalikan sepenuhnya oleh polis trafik bagi memastikan kelancaran acara dan keselamatan semua pihak.
Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan dron adalah tidak dibenarkan sepanjang acara berlangsung tanpa kelulusan rasmi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas faktor keselamatan.
Menurut Nixon, seramai 8,951 peserta dari 21 negara telah mengesahkan penyertaan dalam maraton berprestij itu dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiapsiaga sepenuhnya bagi memastikan penganjuran acara berjalan lancar.
Beliau turut menggesa agar orang ramai yang hadir ke lokasi acara mematuhi undang-undang dan peraturan, menjaga tataetika serta keselamatan diri dan harta benda, selain memberi kerjasama penuh kepada petugas di lapangan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304 atau Balai Polis Trafik IPD Bintulu di talian 086-338575.
Oleh Carolyne Utih