Ops Kutu Sampah: Individu ditahan di Parkcity Bintulu dalam operasi bersepadu

Facebook
WhatsApp
MOTOSIKAL milik pelaku yang disita pihak berkuasa semasa Ops Kutu Sampah sebelum dibawa menggunakan kenderaan penguat kuasa BDA di Bintulu, malam tadi.

BINTULU: Seorang individu ditahan semasa menyelongkar sampah di kawasan Parkcity dalam satu operasi bersepadu ‘Ops Kutu Sampah’ yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan (ENF) bersama Seksyen Kesihatan Awam dan Persekitaran (PHE) serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) malam tadi.

Individu terbabit ditangkap sekitar 11.35 malam dan motosikal miliknya turut disita bagi tindakan lanjut. 

Difahamkan, satu laporan polis juga telah dibuat berhubung insiden tersebut.

PELAKU ditahan pihak berkuasa semasa Ops Kutu Sampah sebelum motosikalnya disita dan dibawa menggunakan kenderaan penguat kuasa BDA, malam tadi.

Menurut kenyataan BDA, pelaku berkenaan dipercayai sering melakukan aktiviti pembuangan sampah secara haram di beberapa lokasi tumpuan awam seperti Parkcity, Commence Square, Medan Jaya dan Bintulu Central.

“Selepas tindakan diambil, individu tersebut dihantar pulang ke kediamannya demi keselamatan,” katanya.

BDA dalam pada itu mengingatkan orang awam bahawa pembuangan sampah secara haram adalah satu kesalahan dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan kebersihan dan imej bandar Bintulu sentiasa terpelihara.

Oleh Carolyne Utih