
BINTULU: Seramai 12 individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun cedera akibat melecur dalam kebakaran di kilang kayu Jalan Kemena, Kemena Industrial Estate, malam ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bersama BBP Kidurong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan longgokan kayu yang telah diproses di luar bangunan seluas kira-kira 80×60 kaki persegi.
“Kebakaran turut memusnahkan dua unit ‘boiler’ yang terbakar sepenuhnya serta menyebabkan kerosakan sekitar 10 peratus pada struktur bangunan kilang,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tambahnya, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan melecur menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan empat nozel, manakala sumber air diperoleh daripada pam jentera dan pili bomba berhampiran.
Tangki air serta jentera berat (eskavator) milik syarikat turut digunakan bagi membantu mengalihkan timbunan kayu yang masih berbara.
Kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa bara masih diteruskan di lokasi kebakaran setakat ini.
Oleh Carolyne Utih