
HA TINH (Vietnam): Sembilan orang maut manakala 16 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas di wilayah tengah Ha Tinh, Vietnam awal pagi Jumaat, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kemalangan itu berlaku kira-kira 2 pagi di National Highway 1A, di kawasan perumahan Dong Trinh, dalam kawasan pentadbiran Song Tri.
Bas persiaran jenis “sleeper” itu dalam perjalanan dari Hanoi ke Da Nang apabila hilang kawalan sebelum melanggar penanda jalan dan terbalik.
Bas berkenaan membawa kira-kira 28 penumpang. Seorang daripada mangsa cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke hospital besar wilayah, manakala selebihnya sedang menerima rawatan di hospital tempatan.
Pihak berkuasa berkaitan segera tiba di lokasi untuk membantu mangsa dan menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan.– Bernama-VNA