
MUKAH: Satu kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas hampir satu hektar dilaporkan berlaku berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.55 malam.
Susulan itu, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 12 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas hampir satu hektar dan masih berlaku ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, rondaan turut dilakukan di kawasan sekitar Lapangan Terbang Mukah bagi mengesan sebarang kemungkinan merebaknya kebakaran ke kawasan berisiko.
Bagaimanapun, tiada tindakan pemadaman dilakukan setakat ini kerana lokasi kejadian tidak mempunyai akses dan sukar untuk dilalui.
“Anggota akan terus melakukan rondaan dan pemantauan berkala bagi memantau perkembangan kebakaran tersebut.
“Kerja pemantauan tamat pada 11.20 malam,” menurut kenyataan itu.
Oleh Tarani Lanting