MIRI : Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng mengambil masa lebih dua jam untuk memadamkan kebakaran belukar melibatkan kawasan seluas tiga ekar berhampiran taman perumahan di South Lake Permyjaya di sini, semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.47 pagi.
Katanya, operasi pemadaman api di kawasan itu dilakukan menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba dan kaedah pemukul api.
“Api berjaya dikawal pada 1.13 petang sebelum operasi ditamatkan pada 1.48 petang setelah pasukan bomba memastikan api padam sepenuhnya serta tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula ditemui,” katanya di sini.
Law berkata, operasi pemadaman melibatkan seramai lapan anggota bomba itu diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rorudi Umas .
Oleh Liong Chai Ling