
KUALA LUMPUR: AFFIN Group, dengan kerjasama Chemsain Sustainability Sdn Bhd, melancarkan Program Pelaksana Gas Rumah Hijau (GHG) sempena AFFIN SME BizChat 2025, bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengamalkan prinsip kelestarian berasaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Program ini menawarkan latihan dan pensijilan antarabangsa bertujuan melahirkan pengamal GHG bertauliah selaras dengan piawaian ISO 14064-1, ISO 14064-2 dan GHG Protocol.
Latihan dikendalikan oleh Chemsain, dengan kerjasama TÜV SÜD, sebuah badan pensijilan global yang diiktiraf.
Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Islamic Bank Berhad, Syed Mashafuddin Syed Badarudin, berkata inisiatif ini sejajar dengan komitmen AFFIN untuk memperkukuh amalan perbankan bertanggungjawab serta menyokong PKS beralih kepada operasi rendah karbon.
“AFFIN percaya kepada pemerkasaan perniagaan yang mampan, dan inisiatif ini adalah langkah penting dalam memacu transformasi hijau dalam kalangan PKS,” katanya.
AFFIN SME BizChat 2025 yang berlangsung di Menara AFFIN @ TRX turut menampilkan forum industri yang membincangkan pendekatan praktikal ESG serta demonstrasi langsung bagi memberi pendedahan terus kepada peserta mengenai pelaksanaan kelestarian dalam perniagaan.
Acara turut diserikan dengan AFFIN Rakaniaga Bazaar, yang menghimpunkan usahawan tempatan serta memperkenalkan AFFINMAX, platform perbankan digital interaktif yang membantu pengguna perniagaan mengurus kewangan dengan lebih mudah, selamat dan tanpa tunai.