Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Inisiatif sejahtera MADANI dilancar, berjaya kumpul dana hampir RM120 juta
  • SEMASA

Inisiatif sejahtera MADANI dilancar, berjaya kumpul dana hampir RM120 juta

Utusan Sarawak 3 days ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana hari ini. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA:  Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) yang dilancarkan hari ini bagi menoktahkan kemiskinan berjaya mengumpul dana hampir RM120 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha berkenaan mendapat sambutan baik daripada pihak swasta dan telah melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu RM50 juta.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kanan) menerima sumbangan dari Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim (dua kiri) selepas meluncurkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana hari ini. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (dua kanan). Foto BERNAMA

“Hari ini (insiatif) Sejahtera MADANI, saya kata kalau dapat RM50 juta sudah baik dan kerajaan boleh tambah sedikit tetapi sekarang sambutan itu bukan hanya dua kali (ganda) tetapi lebih daripada itu.

“… sambutan (insiatif Sejahtera MADANI cecah) hampir RM120 juta. Ini projek yang baik dan kita ingin pacu negara ini sebagai negara gagah dan hebat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu di sini hari ini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Noraini Ramli (empat kanan) pada Majlis meluncurkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana hari ini. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri). Foto BERNAMA

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, Anwar mengulangi tekad Kerajaan MADANI pimpinannya untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini menerusi pelbagai usaha bersama serta pendekatan strategik.

“Sasaran saya bersama dengan rakan Jemaah Menteri ialah kalau boleh kita mula noktahkan kemiskinan tegar. Berdasarkan angka 2023 hingga 2024, kita dapat atasi walaupun jumlah itu akan muncul kemudian tetapi jumlahnya jauh rendah daripada dulu,” katanya.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Kio Tek Kiew (tiga kanan) Pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana hari ini. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Foto BERNAMA

Perdana Menteri memuji komitmen semua pihak merangkumi sektor swasta dan Majlis Agama Islam yang komited bersama-sama kerajaan dalam membasmi kemiskinan negara.

Sejahtera MADANI merupakan inisiatif  nasional bagi membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (Sistem eKasih). 

Inisiatif diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi membasmi kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.

Sementara itu sempena pelancaran inisiatif berkenaan, ICU JPM memaklumkan Sejahtera MADANI yang berpaksikan pendekatan whole of nation approach itu diperkukuh dengan elemen tambahan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima, Mageswary Muruthamuthu, pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Foto BERNAMA

Ia memfokuskan program atau bantuan lebih berimpak tinggi serta mampan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih dengan empat fokus iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan menyasarkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM100 juta bagi Sejahtera MADANI yang akan disalurkan terus ke Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah seliaan ICU JPM. 

“Kesemua jumlah sumbangan CSR ini layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh Kementerian Kewangan,” menurut kenyataan itu.

Setakat 15 Julai lepas, sebanyak 306,403 KIR direkodkan dalam Sistem eKasih seluruh negara melibatkan 1,017 KIR dalam kategori Miskin Tegar dan 305,386 KIR Miskin.– Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak sasar 20,000 hektar ladang nanas menjelang 2030
Next: Ahli Parlimen Miri hadir pemukiman kerajaan, fokus rumah, sekolah dan infrastruktur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.