MATU: Pembinaan Jambatan Igan dianggap sebagai hadiah kepada kesetiaan penduduk di kawasan Matu dan Igan terhadap Kerajaan Sarawak selama ini.
Justeru itu, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, mereka berhak untuk mendapat projek yang telah lama dinantikan itu.
“Mereka (penduduk Matu, Igan) telah menunggu projek ini sekian lama, kalau tak salah saya sudah 17 tahun mereka menunggunya.
“Baru-baru ini projek itu seakan-akan nak dilaksanakan namun tidak jadi kenyataan apabila BN (Barisan Nasional) tumbang pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu dan PH (Pakatan Harapan) yang memerintah negara. Saya boleh katakan mereka ‘deserve’ atau patut untuk mendapatkannya kerana penduduk di kawasan ini sangat setia dengan kerajaan semasa,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari dan Taklimat Projek sempena lawatan kerjanya ke beberapa projek di Daerah Matu di Pejabat Baharu Daerah Matu baru-baru ini.
Projek bernilai lebih RM285 juta jambatan itu ujarnya, adalah amat penting bagi pembangunan kawasan Matu-Daro dan Igan, dan kawasan sekitar.
“Saya boleh nampak kawasan Matu ini boleh dibangunkan sebagai ‘rice bowl’ bagi negeri Sarawak, seperti apa yang terjadi di Kedah. Kita mempunyai tanah yang luas juga dan cuma setakat ini kita belum ada ‘muzium padi’.
“Jadi ia bukan hanya menjadi pembekal beras akan juga menjadi produk pelancongan. Ia boleh dilakukan kerana dengan adanya jambatan kelak pasti memudahkan pelancong untuk ke sini, kerana tidak perlu menunggu lama di feri lagi,” katanya
Antara yang dilawati beliau selain Pejabat Daerah yang dalam pembinaan itu dan Pengkalan Feri Igan/Jambatan Igan itu ialah projek Jambatan Oya/Senau ke Igan, Jalan Igan-Matu, Bangunan Baharu Pejabat Daerah Matu di Bruan, Jalan Kebuaw (Feri Seberang Igan) dan lawatan mengejut ke tapak Lapangan Terbang Baharu Mukah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya yang juga berucap pada majlis tersebut berterima kasih kepada James atas lawatan yang cukup bermakna itu, termasuk sokongan beliau terhadap pembangunan yang dirancangkan untuk dilaksana di DUN Jemoreng.
Ujarnya jambatan itu adalah antara beberapa projek yang akan dilaksanakan di kawasannya, dan percaya ia boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan untuk rakyat di sana, sama ada dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial.
Jambatan yang bernilai RM285 juta yang menyaksikan Syarikat Kontrektor Wisma Sdn Bhd selaku Kontrektor Utama berkenaan dijangka siap pada 23 Januari 2024.
Oleh Hnery B Siyu