
BEKENU: Penduduk dari beberapa kampung meluahkan rasa kecewa terhadap kegiatan lori tanah bersaiz besar yang didakwa menyebabkan kerosakan teruk pada jalan berturap utama di kawasan itu.
Antara kampung yang terjejas akibat kerosakan jalan tersebut termasuk Kampung Bulau, Sinup, Mutap, Kepayang, Pintasan, Lubok Buinih, Masjid dan rumah panjang Tiris.
Ketua Kampung Kepayang, Suip Karim berkata, jalan yang menghubungkan Kampung Tiris ke Rambai dan seterusnya ke pekan Bekenu kini berada dalam keadaan sangat rosak dipercayai akibat penggunaan oleh lori besar yang melebihi had muatan.
“Sepatutnya lori-lori berat tidak dibenarkan menggunakan jalan ini kerana struktur jalan hanya mampu menampung kenderaan dengan muatan maksimum lima tan.
“Akibatnya, penduduk dari Kampung Tiris, Ulu Tiris, Bulau, Sinup dan Mutap tidak dapat menggunakan laluan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, aduan rasmi telah disampaikan kepada pihak berkaitan agar tindakan segera dapat diambil bagi membaiki kerosakan dan mengawal penggunaan jalan oleh kenderaan berat.
Orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan disarankan agar lebih berhati-hati dan bersabar sementara menunggu tindakan susulan daripada pihak berwajib.
Oleh Adum Liu