
KUCHING: Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai setiap tahun merupakan manifestasi jati diri, semangat perjuangan dan kebanggaan rakyat negeri itu terhadap sejarah, kedaulatan serta warisan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di Facebook berkata 22 Julai setiap tahun merupakan detik amat signifikan buat seluruh rakyat Sarawak.
Sebagai anak jati Sarawak, Ahli Parlimen Kanowit itu merakamkan rasa bangga melihat negeri berkenaan terus menjadi simbol perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian.
“Saya menyeru kepada semua rakyat khususnya generasi muda agar terus memelihara semangat perpaduan ini. Selamat Menyambut Hari Sarawak!,” katanya.
Sambutan Hari Sarawak 2025 dengan tema ‘Sarawak Maju Makmur’ berlangsung di Miri sejak semalam, dengan pelbagai aktiviti seperti karnival jualan dan pameran, Sarawak Talent, majlis kesyukuran serta dialog awam bersama kepimpinan negeri diadakan, dengan acara kemuncak Perhimpunan Hari Sarawak pada malam esok.
-Bernama