
SIBU: Seorang lelaki warga emas ditemui mati di sebuah bilik sewa di Jalan Channel di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 74 tahun itu sekitar 9.00 pagi.
“Laporan dibuat oleh orang awam yang menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam bilik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepasukan anggota polis bersama pasukan perubatan dari Hospital Sibu telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal oleh pihak perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sibu untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Zulkipli turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” tegasnya.
Oleh Tarani Lanting