
SARATOK: Seramai 40 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Saratok telah menyertai Latihan Mingguan Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) yang berlangsung di Kompleks Sukan di sini, semalam.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata latihan tersebut bermula seawal 7.00 pagi dan berakhir pada 6.00 petang, dengan pelbagai modul latihan yang menyeluruh disediakan sepanjang program.
“Antara modul yang diterapkan dalam latihan ini termasuk kawad kaki, latihan mengawadkan skuad serta pengenalan kepada Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” katanya.
Menurut beliau, anggota juga didedahkan dengan latihan simulasi kes yang menumpukan kepada teknik menyelamat serta rawatan kecemasan di lokasi kejadian.
Latihan mingguan seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap disiplin anggota, malah turut memperkukuhkan kecekapan mereka dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan.
“Program ini juga bertujuan memperkukuh kerjasama berpasukan dalam kalangan anggota APM serta memastikan mereka sentiasa bersedia dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, APM Saratok komited memperkasakan latihan berkala bagi memastikan setiap anggotanya sentiasa bersedia, cekap, dan berdaya tahan dalam memberikan khidmat terbaik kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman