
KUCHING: Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran membabitkan premis logistik di Jalan Sungai Apong – Pending awal pagi tadi, sekali gus mengelakkan kerosakan lebih besar.
Menurut Komander Operasi, PBK I Pandi Seh, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kebakaran sekitar 5 pagi.
“Dua jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan BBP Padungan digerakkan ke lokasi sejauh enam kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas yang membabitkan unit penyaman udara, peralatan pejabat serta sebuah motosikal di hadapan premis, namun tidak membabitkan struktur utama bangunan.
Setibanya pasukan di lokasi pada 5.06 pagi, anggota bomba membuka pagar premis dan menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki dan pam jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.24 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 5.38 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” jelasnya
Operasi tersebut membabitkan seramai 15 anggota bomba.
Oleh Masrin Affirah