
SIBU: Orang ramai dipelawa datang beramai-ramai memeriahkan Pameran Pelancongan MATTA Fair Sibu, Sarawak Travel Fair 2025 di Swan Square Sibu pada 26 dan 27 Julai ini.
Pengerusi pengelola MATTA Fair Sibu, Ling How Kang berkata, pameran edisi ketiga bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam, menampilkan pelbagai tawaran pelancongan menarik dan hadiah tiket penerbangan ke destinasi antarabangsa.
“Oleh itu, orang ramai dipelawa datang beramai-ramai bagi memeriahkan MATTA Fair Sibu dan kemasukan adalah percuma,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan RHB Bank Berhad merupakan rakan bank rasmi edisi kali ini.
“MATTA percaya kerjasama dan sokongan RHB Bank Berhad akan menyumbang kepada usaha merancakkan semula sektor pelancongan domestik dan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, syarikat penerbangan Scoot akan menawarkan tiket penerbangan antarabangsa secara percuma dari Sibu untuk Peraduan Pembeli.
“Ini termasuk satu tiket pergi dan balik Scoot dari Sibu ke Perth dan satu tiket pergi dan balik Scoot dari Sibu ke Singapura,” kata beliau.
Selain itu, penaja pameran juga menawarkan tajaan baucar penginapan menarik seperti Damai Lagoon Resort, Damai Beach Resort, Hotel Grand Continental Kuching, Pullman Kuching, Kingwood Hotel Sibu, RH Hotel, Sematan Palm Beach Resort, The Meritin Hotel Kuching, The Waterfront Hotel Kuching, Royal Caribbean International, Grand Margherita Hotel Kuching dan Riverside Majestic Hotel Astana Wing Kuching.
“Terima kasih kepada semua penaja, rakan kerjasama, pempamer dan pihak media atas sokongan berterusan anda.
“MATTA Cawangan Sarawak yakin dengan pelbagai pakej pelancongan terbaik yang ditawarkan oleh ahli-ahlinya, para pengunjung pasti dapat memilih destinasi impian mereka dan mengembara dengan penuh keyakinan,” kata beliau lagi.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat sekretariat MATTA Cawangan Sarawak di talian 082-555853.
Oleh Akun Giman