KUANTAN: Penjara Penor di sini telah mengambil pelbagai langkah berwaspada termasuk melakukan proses sanitasi di semua blok penjara bagi mengelak penularan COVID-19 walaupun tiada kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan penghuninya setakat ini.
Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain berkata aspek kesihatan dan keselamatan banduan menjadi keutamaan pihaknya dengan langkah pencegahan mula dilakukan sejak awal penularan wabak itu berlaku di negara ini.
Sebagai contoh, Abu Hasan berkata semua kakitangan penjara dan pelawat serta mereka yang mempunyai urusan dalam penjara kini perlu melalui proses saringan suhu dan memakai penutup hidung dan mulut selain pemeriksaan lebih ketat dilakukan terhadap banduan baharu.
“Kita berharap operasi sanitasi yang dilakukan hari ini juga dapat membantu mengurangkan kebimbangan ahli keluarga penghuni kerana kami menerima banyak pertanyaan daripada mereka yang bimbang dengan penularan COVID-19 memandangkan banduan berkongsi sel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan operasi sanitasi itu yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang MohdZahar Abdullah di sini, semalam.
Menurut Abu Hasan, program sanitasi itu melibatkan semua empat blok sel dan banduan dikumpulkan di kawasan lapang bagi membolehkan anggota bomba dan Majlis Perbandaran Kuantan melakukan kerja berkenaan.
“Selain sel, ia turut melibatkan semua bengkel, perpustakaan, kelas dan pusat kesihatan penjara serta pejabat dan kawasan kuarters kakitangan,” katanya.
Selain itu, penghuni juga telah dimaklumkan mengenai wabak COVID-19 oleh kakitangan penjara supaya mereka tahu akan bahaya penyakit ini selain risalah berkaitan ditampalkan di pelbagai lokasi sekitar blok penjara.
Selain itu, sejak kluster COVID-19 daripada perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur dikesan, semua kakitangan penjara yang mempunyai ahli keluarga yang menghadiri program itu diminta untuk memaklumkan pengurusan penjara sebagai langkah berjaga-jaga.
Penjara Penor kini menempatkan 2,473 penghuni selain memiliki tujuh banduan menumpang.
Sementara itu, Mohd Zahar berkata sejak dimulakan pada 30 Mac lepas, JBPM Pahang telah melakukan proses sanitasi di 250 premister diri daripada bangunan kerajaan, premis perniagaan dan kawasan tumpuan awam seperti pasar.
Program itu dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti agensi dan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejaldan Pembersihan Awam (SWCorp). — Bernama