
Pasukan kebangsaan Indonesia diundi bersama tuan rumah, Arab Saudi dan Iraq dalam pusingan keempat kelayakan Asia ke Piala Dunia 2026.
KUALA LUMPUR: Pasukan kebangsaan Indonesia yang dikendalikan bekas bintang Barcelona dan legenda Belanda, Patrick Kluivert berdepan laluan getir apabila diundi bersama tuan rumah, Arab Saudi dan Iraq dalam pusingan keempat kelayakan Asia ke Piala Dunia 2026.
Undian rasmi membabitkan enam pasukan itu berlangsung di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini, hari ini.
Dalam satu lagi kumpulan, Qatar selaku tuan rumah akan mengetuai Kumpulan A yang turut disertai Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
Kedua-dua kumpulan akan beraksi dalam format liga satu pusingan (round-robin) pada Oktober, masing-masing di Arab Saudi dan Qatar.
Juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Sementara itu, pasukan di tempat kedua akan berentap dalam perlawanan timbal balik pada November dengan pemenang layak ke playoff antara benua bagi merebut slot terakhir ke kejohanan yang bakal menghimpunkan 48 pasukan.
Indonesia giat memperkuat skuad mereka menerusi pengambilan pemain dan pegawai kelahiran Belanda, termasuk pelantikan Jordi Cruyff – anak kepada legenda bola sepak Johan Cruyff – sebagai penasihat teknikal Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada Februari lalu, bagi membantu Kluivert.
Skuad Garuda kali terakhir layak ke Piala Dunia pada edisi 1938 ketika masih di bawah penjajahan Belanda dan ketika itu tewas 0-6 kepada Hungary dalam satu-satunya aksi mereka di pentas dunia.
Bagaimanapun, laluan ke edisi 2026 dilihat amat mencabar dengan Arab Saudi menjadi pilihan utama untuk mengungguli Kumpulan B, apatah lagi dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Iraq pula tidak boleh dipandang mudah selepas pernah layak ke Piala Dunia 1986.
Enam pasukan Asia yang sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia setakat ini ialah Australia, Jepun, Korea Selatan, Iran, Jordan dan Uzbekistan. – AFP