
BINTULU: Sebuah kenderaan jenis traktor penunda terminal musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Bintulu Port Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.55 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 5 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan traktor penunda terminal, namun kebakaran telah dipadamkan oleh pasukan bomba Bintulu Port sebelum ketibaan pasukan kami.
“Tiada tindakan pemadaman dilakukan dan kehadiran pasukan hanya untuk membuat pemantauan serta pengesahan keadaan selamat,” katanya.
Difahamkan, kebakaran tersebut berlaku lebih awal iaitu sekitar 6.15 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan lanjut.
Oleh Carolyne Utih