
PENYERANG Sepanyol Barcelona, Lamine Yamal bergambar sambil memegang jersi #10 baharunya di kedai stadium Camp Nou pada 16 Julai 2025 di Barcelona. Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal mewarisi baju nombor 10 kelab itu, yang sebelum ini dipakai oleh pemain hebat sepanjang zaman, Lionel Messi, hari ini. Pemain sayap berusia 18 tahun itu, sering dibandingkan dengan superstar Argentina yang juga datang melalui akademi remaja La Masia kelab itu, membantu gergasi Catalan itu memenangi treble domestik musim lalu. Foto AFP
BARCELONA: Lamine Yamal pada Rabu melanjutkan kontraknya bersama Barcelona hingga 2031 dan kini bakal menyarung jersi bernombor 10 yang pernah dipakai legenda kelab seperti Lionel Messi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Yamal menerima jersi berprestij itu daripada Presiden Kelab Joan Laporta selepas menandatangani lanjutan kontrak bersama kelab zaman kanak-kanaknya itu – yang telah diumumkan pada Mei – dalam majlis yang turut dihadiri ahli keluarganya serta kepimpinan kelab.
Pemain penyerang itu mewarisi jersi nombor 10 daripada Ansu Fati, yang kini berhijrah ke kelab Monaco dalam liga Perancis. Messi menyarung nombor itu dari 2008 hingga 2021. Seperti Messi, Yamal sebelum ini memakai jersi bernombor 19.

Kontrak profesional pertama Yamal yang ditandatangani pada 2023 hanya terhad kepada tiga tahun disebabkan usianya yang masih muda. Beliau baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-18 pada Ahad lalu.
“Ini adalah langkah terbaru dalam perjalanan bintang muda La Masia ini ke puncak. Dengan menyarung nombor yang begitu sarat dengan simbolik dalam dunia bola sepak – dan lebih-lebih lagi di Barca – Lamine sekali lagi menunjukkan bahawa tanggungjawab bukanlah halangan buatnya,” menurut kenyataan kelab itu.

Yamal menyertai akademi terkenal La Masia ketika berusia lima tahun dan membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada April 2023 ketika baru berusia 15 tahun.
Beliau sejak itu berkembang menjadi antara bintang terbesar dalam sukan ini. Bersama Sepanyol, beliau menjuarai Euro 2024, dan musim lalu memenangi kejuaraan La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol bersama Barca.
Menurut laman web rasmi kelab, Yamal telah menjaringkan 25 gol dan mencatat 28 bantuan jaringan dalam 106 penampilan bersama Barcelona – termasuk 18 gol dan 21 bantuan jaringan dalam musim lalu sahaja.– Bernama-dpa