SIBU:Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah kilang memproses belacan di Jalan Ding Lik Kong di sini daripada musnah terbakar malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Janggan Muling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut kira-kira jam 9.14 malam.
Katanya, sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan Sibu Sentral bersama dua jentera, dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sampai dilokasi, didapati kebakaran melibatkan rak penyimpanan kotak dan mesin memproses belacan yang diletakkan di bahagian luar, belakang kilang memproses ikan masin, keropok dan belacan.
“Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan struktur bangunan kilang tersebut,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang tadi.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 300 kaki, 2 nozzle dan pam jentera bomba untuk membuat pemadaman.
“Kaedah ‘offensive fire fighting’ digunakan dan kebakaran berjaya dikawal 10 minit selepas pancutan pertama.
“Setelah kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya, kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca-punca yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku semula,” ujarnya lagi.
“Selepas memastikan keadaan di lokasi betul-betul selamat, pasukan bomba bertolak balik semula ke balai,” katanya.
Oleh Akun Giman