MARUDI : Seramai 250 peserta dari rumah panjang sekitar Poyut dan Lubok Nibong menyertai kursus “Community Extension Outreach Programme ” ( CEOP) 2020 anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Miri di Rh. Michael Selangkor, Sg. Brit Marudi.
Program tersebut dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu Dato Gerawat Gala.
Gerawat menegaskan dengan adanya kursus ini maka ia dapat meningkatkan pengeluaran produk-produk pertanian dan meningkatkan ekonomi petani.
Gerawat menambah kata Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu negeri ini menjadi pengekspot pengeluaran pertanian dan bahan-bahan makanan menjelang tahun 2030.
Menurut Gerawat kini Sarawak sudah mula mengekspot 20 ton ikan tilapia sebulan ke Negara Singapura.
Tegasnya kawasan Poyut dan Lubok Nibong boleh dijadikan pusat pengeluaran durian nanas dan terung jika petani-petani di kawasan ini mempergiatkan lagi usaha mereka dalam sektor pertanian.
Dalam pada itu sebanyak 12,430 benih pokok durian Musang King dan Black Thorn diagihkan kepada 1,243 penerima yang masing-masing menerima 10 benih pokok berkenaan di Poyut dan Lubok Nibong.
Katanya pusat pengumpulan dan pemprosesan akan dibangunkan di sini jika hasil durian dan pertanian dari Poyut dan Lubok Nibong meningkat.
“ Ini terpulang kepada penduduk Poyut dan Lubok Nibong untuk mengusahakan pertanian mereka untuk meningkatkan pengeluaran produk pertanian,” tambah Gerawat.
Menyentuh perkembangan politik, Gerawat menegaskan bahawa beliau sudah berkhidmat untuk rakyat di kawasan Mulu selama empat tahun.
Katanya beliau sanggup meneruskan kariernya dalam bidang politik jika ada sokongan kuat dari rakyat di kawasan Mulu.
“Beri saya lesen untuk terus berkhidmat untuk lima tahun lagi dan saya ingin meneruskan khidmat saya kepada rakyat di kawasan Mulu,” Katanya.
Beliau minta rakyat di kawasannya untuk terus memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana perjuangannya untuk membantu rakyat dan membangunkan DUN Mulu belum lagi selesai.
Katanya rakyat perlu memilih GPS, kerajaan yang memerintah kerana GPS mengutamakan rakyat Sarawak dan menunaikan janji kepada rakyat.
Menurut Gerawat kerjaan GPS masih banyak lagi perancangan untuk membangunkan kawasan Mulu seperti projek jalan, perkhidmatan elektrik, perkhidmatan telefon dan akses internet dan banyak lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pegawai Pertanian Bahagian Miri Jackson Nanta, Pemangku Timbalan Residen Miri, Rose Edward, Pegawai Pentadbir Kanan Reagan, Pejabat Daerah Marudi, Pegawai Penyelidik Pertanian Kawasan Utara, Dr Maklin, Penguasa Pertanian daerah Marudi, Sema Lait, Pemanca Randie Bundan, TR Michael Selangkor, Penghulu Hilary Tawan lain-lain.