MARUDI : Isu pembahagi jalan menuju ke pekan Beluru yang ditular di media sosial bertarikh 31 Julai 2020 mendapat perhatian pihak Majlis Daerah Marudi (MDM).
Walikota Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai berkata pada tahun 2016 MDM telah menerima aduan mengenai masalah orang awam yang sering meletakkan kenderaan sepanjang bahu jalan tersebut sehingga menyukarkan kenderaan lain untuk melintasi jalan berkenaan.
Sehubungan itu katanya ahli majlis telah membawa masalah itu melalui mesyuarat majlis pada tahun 2016 dan melalui mesyuarat ini pelbagai usaha dan perbincangan telah dirancang bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Pada mesyuarat tersebut ahli-ahli yang hadir memutuskan agar pembinaan penghadang jalan menggunakan “flexible pole” diwujudkan di jalan menuju ke pekan Beluru.
Namun demikan tegas Edward pihak majlis mendapati bahawa penghadang fleksibel tersebut telah dipotong dan dirosakkan secara sengaja pada tahun 2017 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun jelasnya pihak majlis tidak mempunyai bukti kukuh dalam mengenal pasti punca kerosakan.
Justeru itu katanya pihak majlis telah mengadakan mesyuarat pada tahun 2017 dan dalam mesyuarat berkenaan memutuskan untuk membina pembahagi jalan menggunakan paip besi.
“Pada tahun 2018 pihak majlis sekali lagi menerima laporan mengenai kerosakan pembahagi jalan akibat dilanggar oleh sebuah lori kargo menyebabkan 36 batang pembahagi jalan paip tersebut rosak dengan teruk,” katanya ketika memberitahu media semalam.
Tegasnya pihak majlis telah membuat laporan polis pada 17 Disember 2018 untuk tujuan rekod majlis.
Ujarnya ahli-ahli majlis telah mesyuarat dan mencadangkan agar pembahagi jalan tersebut dibina menggunakan konkrit dengan ketinggian maksimum satu kaki bagi mengelak masalah vandalisme berulang lagi.
“Natijahnya pembinaan pembahagi jalan konkrit bertujuan untuk mengurangkan kesesakan dan masalah lalu lintas akibat kenderaan yang diletakkan di sepanjang bahu jalan menuju ke pekan Beluru,” tambah Edward.
Disamping itu jelasnya papan tanda peringatan juga telah dipasangkan di jalan menuju ke pekan Beluru bagi memperingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan memperlahankan kenderaan sepanjang menggunakan jalan tersebut.