
SIBU: Projek pembinaan lorong tambahan sepanjang 400 meter berhampiran lampu isyarat di Jalan Wong Soon Kai, yang menghubungkan Jalan Ling Kai Cheng dan Jalan Deshon, dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Projek bernilai RM900,000 itu merupakan antara usaha pihak berkuasa untuk meningkatkan kelancaran trafik di lokasi berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, berkata, Jalan Wong Soon Kai merupakan laluan utama dengan aliran trafik yang tinggi, digunakan oleh ramai penduduk untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

“Kesesakan sering berlaku terutama di lampu isyarat yang menghubungkan Jalan Deshon dan Jalan Lee Kai Cheng. Justeru, terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang tampil dengan cadangan membina lorong membelok ke kanan sepanjang sekitar 400 meter itu bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek berkenaan, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, projek yang dijangka siap dalam tempoh empat bulan itu menunjukkan kemajuan positif dan berkemungkinan dapat disiapkan lebih awal.
Sementara itu, Datuk Michael turut memaklumkan pihaknya sedang mengkaji untuk menambah satu lagi lorong membelok ke kanan di Jalan Deshon sebagai pelengkap kepada projek sedia ada.
“Saya akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mencadangkan pembinaan lorong membelok ke kanan dari Jalan Deshon. Jika dilaksanakan, ia diyakini mampu menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan ini secara menyeluruh,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Horh.
Oleh Akun Giman