
LAWAS: Kehadiran sarang tebuan di atas bumbung sebuah perpustakaan awam di Kampung Aru, Sundar telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Bagaimanapun, kebimbangan itu berakhir apabila Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lawas bertindak memusnahkan sarang berkenaan pada 7.40 malam tadi.
Pegawai APM Daerah Lawas, Leftenan (PA) Maradona Tatah, berkata tiga anggota telah dikerahkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.00 malam.
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati terdapat sarang tebuan tanah bersaiz besar di celahan bumbung bangunan perpustakaan tersebut, dipercayai menjadi tempat pembiakan serangga itu.
“Saiz sarang yang besar boleh mengundang bahaya, lebih-lebih lagi jika tebuan menyerang secara berkumpulan,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa sarang itu berjaya dimusnahkan menggunakan semburan api dan racun serangga.
Operasi tamat sepenuhnya pada 8.45 malam selepas keadaan disahkan selamat.
Oleh Adeng Edrus