
LAWAS: Isu pendidikan melibatkan kekurangan guru dan pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Lawas merupakan antara agenda yang akan dibawa ke persidangan Parlimen yang akan mula bersidang minggu hadapan.
Setiausaha Sulit yang juga Exco Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Steve Lius, mengesahkan bahawa isu ini telah dimasukkan dalam soalan yang akan dibawa oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong kepada kementerian yang bertanggungjawab.
“Selain itu, beberapa soalan lain yang melibatkan Kementerian Kewangan turut dikemukakan kepada pejabat Parlimen pada minggu lalu.
“Pelbagai isu rakyat sentiasa mendapat perhatian Dato Henry Sum, khususnya bagi mendapatkan penjelasan dan jawapan rasmi daripada menteri yang bertanggungjawab.
“Kami tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Penyerahan Plak Advokasi Pelindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-Kanak kepada SMK Trusan, mewakili Dato Henry Sum.
Steve memaklumkan bahawa semua jawapan bertulis akan dikongsi bersama rakan media yang sentiasa memberikan kerjasama, selain jawapan lisan yang boleh diikuti secara langsung sepanjang persidangan Parlimen berlangsung.
Oleh Adeng Edrus