
SARATOK: Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok menerima satu panggilan kecemasan awal pagi tadi berhubung kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan utama di Jalan Simpang Paip, di sini.
Menurut Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, panggilan kecemasan tersebut diterima sekitar 6.56 pagi daripada orang awam yang memohon bantuan untuk memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang.
“Sejurus menerima maklumat, seramai tiga anggota APM telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setibanya di lokasi, pasukan APM mengesahkan terdapat sebatang pokok besar tumbang sepenuhnya, menghalang aliran lalu lintas di laluan berkenaan.
“Anggota APM memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi dan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum memulakan kerja-kerja pemotongan pokok,” jelasnya.
Tambah Nur Athirah, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan pasukan APM berjaya mengalihkan pokok serta membersihkan kawasan terbabit, membolehkan laluan digunakan semula oleh orang ramai.
Oleh Adi Safarman