
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus mengorak langkah dengan menghantar 10 ahli Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan (MKKS) hari ini berlepas ke Chengdu, China bagi menyertai Kem Pendidikan Cina Panda Chengdu yang berlangsung dari 14 hingga 20 Julai ini.
Delegasi tersebut turut disertai dua pegawai kanan MBKS yang akan mengiringi penyertaan Kuching Selatan dalam program pertukaran pendidikan dan budaya peringkat antarabangsa anjuran pihak berkuasa Chengdu dengan sokongan Kerajaan Wilayah Sichuan.
Majlis penyerahan bendera Sarawak kepada delegasi berkenaan telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat MBKS.
Turut hadir ialah Kaunselor Albert Tay dan Kaunselor Judy Kho yang turut menyampaikan ucapan tahniah serta galakan kepada para peserta muda.
Penyertaan ini merupakan hasil kunjungan hormat delegasi dari Daerah Xindu, Chengdu ke atas Dato Wee pada 29 April lalu, di mana beliau menyatakan hasrat agar MBKS diberi peluang untuk menghantar wakil ke kem berkenaan.
Susulan perbincangan tersebut, pihak Xindu bersetuju memperuntukkan 10 tempat kepada Kuching Selatan.
Dato Wee berkata, penyertaan para belia dalam program seumpama ini mampu membentuk jati diri serta memperluas pandangan mereka ke peringkat global.
“Ini bukan sekadar lawatan pembelajaran, tetapi satu peluang membina jaringan persahabatan antarabangsa, memahami budaya luar serta menggilap potensi kepimpinan belia. Ia juga sejajar dengan aspirasi Bandar Mesra Kanak-Kanak yang digariskan oleh MBKS,” katanya.
Kem tersebut akan memberi pendedahan secara langsung kepada para peserta mengenai bahasa, budaya dan sistem pendidikan di China, di samping menggalakkan interaksi bersama belia dari bandar dan negara lain.
Penyertaan ke Chengdu ini turut dianggap sebagai pencapaian penting MBKS dalam memperkasa suara dan penyertaan belia dalam tadbir urus komuniti serta memperluas cakerawala pemikiran mereka ke peringkat antarabangsa.