
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala memohon kerjasama semua penerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) agar menghantar laporan pelaksanaan projek kepada beliau atau ke Pusat Khidmat DUN Mulu sebaik sahaja projek yang mereka rancangkan dilaksanakan.
Menurut beliau, laporan berkenaan penting sebagai rekod rasmi dan bagi memantau perkembangan projek yang telah atau sedang dilaksanakan oleh penerima.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima cek MRP ini dan berharap peruntukan tersebut digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan projek yang telah dirancang,” katanya semasa menyampaikan cek MRP dalam satu majlis di Pusat Khidmat DUN Mulu, hari ini.
Sebanyak 11 organisasi dan jawatankuasa dari kawasan DUN Mulu menerima peruntukan MRP berjumlah lebih RM150,000.
Antaranya termasuk Yuk Ing Kindergarten yang menerima RM8,000 bagi tujuan pengoperasian sekolah, manakala JKKK Rh Siggan Sg Muam menerima RM10,000 sebagai peruntukan bagi tahun 2025 manakala JKKK Rh Sator di Kampung Memaloh pula menerima RM40,000 bagi pembinaan stor menyimpan barang dan alatan rumah panjang.
Kelab Xiang Q1 Baram (Catur Cina) menerima RM3,500, manakala JKKK Puyut Kampung Cina menerima RM12,000 bagi keperluan pentadbiran.
Selain itu, JKKK Sg Selejau Asal Baram pula menerima dua peruntukan, masing-masing berjumlah RM20,000 untuk penyambungan elektrik di ruang rumah panjang dan satu lagi untuk pembinaan jalan baharu di kawasan skim kelapa sawit
Surau Nur Ihsan menerima RM2,500 untuk pembelian projektor, sementara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Stapang E menerima RM27,000 bagi membeli jubin dan cat rumah panjang manakala JKKK Sg Melikat Selejau pula menerima RM5,000 bagi pembinaan pagar di Rh Lalo Akang, Sg Selejau. Persatuan Sukan dan Kebudayaan Marudi turut menerima RM5,000 bagi menyokong keperluan kumpulan ibu bapa dan sektor swasta.
Gerawat menegaskan bahawa penyampaian peruntukan ini bukan sahaja bertujuan membiayai keperluan asas komuniti, tetapi juga untuk memupuk akauntabiliti serta kerjasama berterusan antara penerima dan pihak kerajaan.
“Saya berharap semua pihak dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan menyampaikan maklumat projek kepada mereka yang tidak dapat hadir. Laporan pelaksanaan juga penting untuk memastikan ketelusan serta memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan,” tambah beliau.
Program penyampaian cek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan ADUN Mulu dalam menyokong pembangunan akar umbi dan memperkasa komuniti luar bandar.
Oleh Jiku Juguong