
BINTANGOR: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah mengadakan sesi latihan pengukuhan kemahiran penggunaan peralatan menyelamat ‘Beg Angkat Udara’, melibatkan penyelia serta anggota bomba yang sedang bertugas.
Menurut Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, latihan ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan kefahaman mendalam anggota terhadap teknik pengendalian peralatan khas tersebut, yang digunakan khusus dalam operasi mengangkat beban berat.
“Latihan seperti ini amat penting dalam memastikan anggota bomba sentiasa mahir dan bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan yang mencabar di lapangan.
“Peralatan ‘Beg Angkat Udara’ ini digunakan ketika operasi menyelamat mangsa yang tersepit di bawah kenderaan, konkrit atau struktur berat lain.
“Penggunaan yang betul boleh menyelamatkan nyawa dalam tempoh kritikal,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, latihan pengukuhan kemahiran ini juga merupakan antara pendekatan berterusan BBP Bintangor bagi memastikan setiap anggota memahami prosedur keselamatan serta teknik pemasangan dan pengendalian peralatan dengan betul.
“Latihan turut memberi penekanan kepada aspek komunikasi berpasukan, penilaian situasi di lokasi kejadian serta penggunaan tekanan angin yang bersesuaian mengikut berat beban yang diangkat.
“Latihan hari ini bukan sekadar rutin. Ia adalah pelaburan kepada keselamatan nyawa orang awam dan juga keselamatan anggota kami sendiri ketika bertugas,” katanya.
Oleh Earl Anek