ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Malaysia Airlines Berhad (MAB) bersetuju untuk meneruskan semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak berkuat kuasa pada 15 April 2020 mengikut laluan yang ditetapkan dengan kekerapan sekali seminggu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, persetujuan tersebut dicapai setelah beliau bertemu dan berbincang dengan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail.
“Antara laluan dan kekerapan yang telah ditetapkan adalah, Kuala Lumpur – Kuching – Kuala Lumpur sekali seminggu iaitu setiap Khamis dan berkuatkuasa dari 16 April.
“Bagi Kuala Lumpur – Miri – Kuala Lumpur, juga sekali seminggu iaitu pada setiap hari Jumaat bermula dari 17 April hingga 14 Mei 2020.
“Manakala bagi Kuala Lumpur – Kota Kinabalu – Kuala Lumpur, turut hanya sekali seminggu iaitu setiap Khamis dan turut berkuat kuasa dari 16 April hingga 14 Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, MAB turut memberi jaminan bahawa penerbangan yang disenaraikan dari Kuala Lumpur ke Sarawak itu juga boleh dihubungi menerusi penerbangan ke bandar-bandar lain di Sarawak melalui penerbangan MASwings.
“Antara laluannya adalah Kuching – Sibu – Kuching, Sibu – Bintulu – Sibu dan Miri – Bintulu – Miri.
“MAS turut mengesahkan jumlah penerbangan akan ditambah jika beban penumpang meningkat.
“Dalam masa yang sama MAS turut memastikan penerbangan kargo antara Kuala Lumpur ke Sarawak untuk membawa kargo terutama untuk perkara penting akan diteruskan,” tegasnya.
Jelasnya, dengan peranan yang sama, Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan terus bekerjasama dan memantau keadaan semasa.
“Ini adalah memastikan tidak ada gangguan penumpang dan kargo penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak untuk keperluan dan perkhidmatan penting serta menghantar barang terutamanya untuk membendung penyebaran Covid-19 di Sarawak.
Lee bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengucap terima kasih kepada Menteri Pengangkutan Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB atas kerjasama dan keputusan segera untuk mengembalikan semula penerbangan MAB dari Kuala Lumpur ke Sarawak dan perkhidmatan MASwings serta mengekalkan penerbangan kargo antara Kuala Lumpur dan Sarawak.
Pada Isnin, MAB membuat keputusan dan mengumumkan pembatalan semua penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Sarawak berkuat kuasa dari 15 April hingga 30 April berikutan Covid-19 dan sekatan perjalanan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasakan penerbangan syarikat penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sarawak tidak boleh dihentikan dan mesti diteruskan untuk perjalanan penting bagi memastikan bekalan perkhidmatan dan barang terutamanya barangan perubatan dan makanan mencukupi.