
KUCHING: Dua lelaki cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Puncak Borneo berhampiran Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Sim Mui Chai, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.32 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 24 kilometer dari balai. Pasukan tiba di tempat kejadian pada 6.57 pagi.
“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza, Honda Jazz dan Proton Etika.
“Seorang mangsa, Mackillen Anak Dilem, 24, yang tersepit di bahagian pedal clutch Bezza berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamat.
“Seorang lagi mangsa, Maxviardo Ortega Anak Boss, 26, yang menaiki Honda Jazz pula mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, yang dikeluarkan pagi ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa tiada kecederaan dilaporkan melibatkan individu dalam kenderaan Proton Etika.
“Mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 7.27 pagi dan turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah