
KAPIT: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas kereta dipandunya terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Melekun, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 5.01 petang tadi.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Kapit sampai di lokasi lapor kemalangan kendiri sebuah kereta Proton X50 telah terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter. Terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan, namun mangsa tidak tersepit,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, pasukan bomba membawa naik mangsa ke kawasan selamat seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima rawatan.
“Mangsa telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM,” katanya.
Oleh Akun Giman