SHEILA ZAIDI
KUCHING : Sarawak semalam merekodkan lima belas lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 363 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kesemua 15 kes tersebut sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Manakala, sebanyak 119 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak adalah sebanyak 2,799 kes.
“Daripada jumlah itu, 2,284 kes adalah negatif dan 152 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri semalam.
Menurut Uggah, Kuching mencatat kes PUI tertinggi dengan bilangan kes sebanyak 79 diikuti Serian dengan 15 kes.
Sementara itu, Samarahan mencatatkan sebanyak lapan kes, diikuti Miri (lima), Bintulu (empat), Bau dan Sri Aman (tiga), sementara Lundu dan Tatau masing-masing satu kes, katanya.
Tambah Uggah, semalam juga mencatatkan penambahan seramai 26 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,078 orang yang telah ditempatkan di Pusat Kuarantin sebagai Orang Di Bawah Pengawasan (PUS) di Bahagian Kuching, Bintulu, Miri dan Limbang.
Untuk bahagian Kuching, 116 orang ditempatkan di Hotel Hock Lee, 5 di Hotel Rajah Court Dormani, 78 di Hotel Kuching Park dan 98 orang di Hotel Pullman.
Manakala di Miri pula, 81 orang PUS telah ditempatkan di Hotel Mega, 45 di Hotel Somerset, 17 di Ostay Inn, 40 di Cosy Inn, 145 di Hotel Imperial Palace, 25 orang di Hotel Eastwood Resort dan 32 di Hotel Imperial.
Di Limbang, 83 orang PUS ditempatkan di Hotel Purnama semnentara di Bintulu 233 orang ditempatkan di Hotel Park City Everly.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata, masih ada individu yang mempunyai kontak rapat dan kontak kasual dengan pesakit positif Covid-19 yang tidak tampil melakukan saringan kesihatan.
“Saya merayu kepada mereka ini agar tampil membuat saringan kesihatan di pusat-pusat saringan berhampiran. Hal ini penting kerana sebaik sahaja mereka ini dikenal pasti, kita dapat mengasing dan merawat mereka,”ujarnya.
Tegasnya, hanya dengan cara ini kita boleh memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan setakat ini maklum balas daripada pelbagai kluster amat memuaskan.
Beliau juga berterima kasih kepada rakyat di negeri ini kerana telah memberi kerjasama baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kadar pematuhan setakat ini mencecah 97 peratus.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian.