
KUALA LUMPUR: Dalam lambakan filem seram tempatan, Munajjim:Sekutu Iblis mengenengahkan realiti gelap masyarakat yang masih bergantung pada bomoh dan amalan ilmu hitam sebagai jalan singkat menyelesaikan masalah.
Diterbitkan oleh Yusrych Global Sdn Bhd, naskhah itu bukan sekadar menampilkan elemen seram, tetapi turut membawa mesej jelas tentang bahaya khurafat dan syirik yang masih membelenggu segelintir masyarakat moden.
“Munajjim diinspirasikan daripada kisah benar…diharapkan filem ini memberi peringatan bahawa amalan sebegitu boleh membawa kepada perbuatan syirik yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam,” menurut penerbitnya Yusry Makmor.
Munajjim: Sekutu Iblis ialah idea asal Yusry bersama-sama Zafran Aziz serta Rozita Mat Isa, dan menjalani penggambaran Januari lepas di beberapa lokasi di Selangor.
Menurut pengarah filem Faizul A. Rashid, filem itu diangkat dengan mencipta elemen keseraman yang berpaksikan realiti untuk menyampaikan mesej berat seperti isu syirik dalam bentuk sinematik.
“Selain memberi pengalaman sinematik yang memuaskan, filem ini mengajak penonton berfikir tentang bahaya dan realiti amalan khurafat dalam kehidupan yang masih berlaku hingga sekarang,” katanya.
Dibintangi oleh Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan pelakon kanak-kanak Daniel Aqil, filem Minajjim:Sekutu Iblis dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Julai ini.– Bernama