
SIBU: Seorang pesara lelaki mengalami kerugian RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan di dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berumur dalam lingkungan 70-an warga tempatan telah melayari Facebook dan tertarik dengan iklan pelaburan yang memaparkan nama syarikat Point Hope G Trading Sdn Bhd.
“Mangsa kemudian dihubungi oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Timothy dan Amy, sebelum dibimbing menyertai satu kumpulan Whatsapp dikenali sebagai Wealth Freedom Klse untuk tujuan pelaburan,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, mangsa telah dimaklumkan berkenaan potensi pulangan pelaburan yang tinggi dan seterusnya diminta membuat dua transaksi wang berjumlah RM100,000 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
“Pada 25 Jun dan 2 Julai lepas, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak dua kali transaksi secara keseluruhan berjumlah RM200,000 ke dalam satu akaun tempatan di kaunter bank,” kata beliau.
Katanya lagi, setelah pembayaran pelaburan berjaya dibuat, mangsa telah diberikan nombor peserta dan ditunjukkan penyata keuntungan pelaburan.
“Suspek telah meminta mangsa untuk membuat bayaran tambahan berjumlah RM992,525 kononnya bagi menebus cabutan bertuah pelaburan saham Sunway, namun mangsa berasa curiga.
“Sehingga laporan dibuat, mangsa tidak memperoleh sebarang keuntungan dari pelaburan tersebut dan sedari telah ditipu. Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman