
KOTA SAMARAHAN: Seorang murid Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Endap, Nur Huda Kalyishah Erawan, telah terpilih mewakili Sarawak ke majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
Nur Huda akan bertanding dalam kategori Hafazan Al-Quran Sekolah Rendah (Perempuan) yang akan berlangsung dari 12 hingga 14 Julai depan di Politeknik Merlimau, Jasin, Melaka.
Sebagai penghargaan atas kejayaan tersebut, Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang telah menyampaikan sumbangan sokongan dan semangat melalui wakil Pusat Khidmat Parlimen kepada Nur Huda.
Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga sekolah dan keluarga, malah turut menjadi kebanggaan masyarakat setempat, khususnya di Kota Samarahan.
Nur Huda diharapkan dapat memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama Sarawak di pentas kebangsaan.
Oleh Norman B.