
SARATOK: Pasukan 96800 JR muncul juara Pertandingan Dart Beregu Tertutup dan Jemputan sempena Pesta Saratok 2025 yang berlangsung di Arena Dart Kelab Sukan Dart Saratok (KSDS), semalam.
Dengan kejayaan itu, pasukan 96800 JR membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta piala, manakala pasukan GMDS Shooter yang muncul naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM600 beserta piala.
Dalam pada itu, pasukan Croc28 DM dan JTOM F muncul sebagai pemenang di tempat ketiga bersama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta piala, manakala pasukan di tempat kelima hingga kelapan menerima hadiah wang tunai RM80 serta pingat.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Sebanyak 64 pasukan dari pelbagai kawasan termasuk Sri Aman, Sarikei, Betong, Sibu serta pasangan beregu dari Saratok telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini.
Dalam kenyataannya, Mohamad Duri turut mengucapkan tahniah kepada Pusat Khidmat ADUN Kalaka dan KSDS atas kejayaan menganjurkan edisi pertama pertandingan tersebut yang diadakan sempena Pesta Saratok 2025.
“Masih banyak lagi acara menarik menanti pada hujung minggu ini sempena Pesta Saratok, antaranya Pertandingan Ratu Etnik yang akan berlangsung pada 8.00 malam, Sabtu ini di Pentas Sri Kalaka,” ujarnya.
“Selain itu, Pertandingan Perahu Berhias dijadualkan akan berlangsung Jumaat ini pada 8.30 malam di Sungai Krian Saratok, manakala Pertandingan Betandak akan diadakan pada 13 Julai di Pentas Utama Sri Kalaka.
“Acara kemuncak yang dinanti-nantikan, iaitu Regata Kalaka 2025, akan berlangsung dari 11 hingga 13 Julai ini, jadi saya mengajak seluruh masyarakat untuk hadir dan memeriahkan lagi Pesta Saratok tahun ini,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman