
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok untuk membayar ganti rugi berjumlah RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes saman fitnah yang difailkan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati Rosmah, sebagai plaintif, berjaya membuktikan haknya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah daripada Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang dinamakan sebagai defendan.
“Mahkamah menetapkan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 untuk ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Mahkamah membuat keputusan untuk tidak membenarkan tuntutan ganti rugi teladan kerana tiada bukti kukuh dikemukakan kepada mahkamah bagi menyokong pemberian itu.
“Saya juga memerintahkan faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh,” katanya dalam penghakiman pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Hakim Ahmad Shahrir turut memerintahkan Ku Muhammad Hilmie untuk membayar kos RM20,000.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Shahrir berkata mahkamah mendapati tuduhan fitnah yang dilemparkan terhadap Rosmah mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.
“Tuduhan ini merupakan serangan terhadap perwatakan beliau dalam aspek integriti agama dan kedudukan moral.
“Dalam konteks masyarakat yang amat mementingkan nilai keagamaan dan moral, tuduhan seperti ini membawa kesan serius dan berpotensi menjejaskan nama baik dengan ketara,” katanya.
Hakim Ahmad Shahrir berkata beliau mengambil kira trend kehakiman untuk bersikap sederhana dalam pemberian ganti rugi, menyifatkan ia sebagai pampasan dan bukannya bertujuan menghukum.
Hakim berkenaan berkata walaupun Rosmah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi di sini berhubung projek hibrid solar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion dan kini sedang merayu di Mahkamah Rayuan, pentaksiran ganti rugi dalam tuntutan fitnah itu perlu dibuat tanpa merujuk kepada sabitan terbabit.
Beliau berkata sabitan Rosmah tidak boleh dijadikan bukti untuk menunjukkan perwatakan buruk bagi tujuan mengurangkan jumlah ganti rugi.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat dan Mohamed Baharuden Mohamed Ariff mewakili Rosmah.
Pada 28 Mei tahun lepas, Rosmah, 73, memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Ku Muhammad Hilmie selepas lelaki itu gagal menjawab saman terbabit dalam tempoh yang ditetapkan.
Rosmah, yang memfailkan saman itu pada 19 September 2023, mendakwa bahawa Ku Muhammad Hilmie memuat naik video ke akaun TikToknya pada 22 Mac 2023, yang mengandungi kenyataan fitnah dan palsu terhadap beliau.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu, antara lain, menggambarkan dirinya melakukan perbuatan berdosa, mengaitkan beliau dengan amalan melibatkan syaitan dan bomoh serta mendakwanya mengamalkan syirik.
Rosmah berkata kenyataan itu merosakkan reputasinya sebagai isteri Perdana Menteri keenam dan sebagai penaung pelbagai pertubuhan kebajikan di negara ini.– Bernama