MESKIPUN, tempoh kuarantin membabitkan pemain serta pegawai yang akan berakhir Jumaat (7 Ogos) ini.
Menurut Iswandy, dari reaksi awal diperlihatkan oleh pemain nyata mereka masih dibuai rasa gundah untuk kembali menyambung tugas (berlatih).
Situasi itu timbul gara-gara lima pemain skuad berkenaan yang sebelum ini disah positif dijangkiti virus Covid-19.
“Kita masih belum bersedia untuk turun ke padang bagi menyambung semula latihan. Walaupun tempoh kuarantin membabitkan pemain dan pegawai berakhir Jumaat (7 Ogos) ini,” ujar Iswandy ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Tambah Iswandy, barisan kejurulatihan pasti berdepan tamparan hebat ketika ini sekiranya meneruskan latihan selepas ini.
Masalah utama mereka ketika ini ialah perlu membina semula tahap kecergasan para pemain yang kembali merudum dibawah kemampuan sebenar gara-gara proses kuarantin yang terpaksa dilakukan.
Sedangkan pada masa sama jelas Iswandy, saingan untuk kempen Liga Super dan Liga Premier akan bersambung pada 26 Ogos ini.
“Apa yang jelas…tahap kecergasan pemain merudum dibawah kemampuan sebenar. Dan untuk membina semula ia memakan sedikit masa lagi,” katanya.
Jadual terbaharu dikeluarkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan Kuching FA akan menentang Selangor 2 di Stadium Sarawak, Petra Jaya.