ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: Dalam usaha untuk memastikan keperluan barangan perubatan dalam menangani wabak Covid-19, Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) telah bersama membantu dengan menyerahkan sumbangan peralatan perubatan kepada Hospital Sri Aman semalam.
Pengerusi ALPH, Leon Jimat Donald berkata petugas kesihatan di barisan hadapan Hospital Sri Aman menerima sumbangan peralatan perubatan yang sangat diperlukan dalam usaha melindungi petugas terbabit daripada terkena jangkitan semasa merawat pesakit Covid-19.
“Saya berharap dengan sumbangan dan bantuan itu petugas kesihatan melibatkan doktor dan jururawat di Hospital Sri Aman akan dapat menjalankan tugasan mereka dengan lebih sempurna, sekali gus melindungi diri daripada dijangkiti wabak semasa merawat pesakit Covid-19.
Mengenai sumbangan tersebut, Leon berkata ia adalah hasil daripada sumbangan daripada penderma-penderma yang telah menyumbangkan sumbangan mereka kepada ALPH dan diserahkan kepada Hospital Sri Aman.
“Kita menyedari keperluan hospital dan ini bukan kali pertama kita tampil memberi sumbangan kepada mereka.
“Diharap sumbangan itu sedikit sebanyak menambah peralatan perubatan di hospital ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada pesakit-pesakit terutama mereka menggunakan peralatan ini,” katanya.
Penyerahan sumbangan peralatan perubatan itu telah disempurnakan Leon sendiri kepada Pengarah Hospital Sri Aman Dr Hazwani Mohd Yusop di pekarangan hospital tersebut sambil disaksikan petugas-petugas kesihatan lain semalam.
Terdahulu, Dr Hazwani merakamkan terima kasih kepada ALPH Sri Aman kerana secara berterusan tampil dengan pelbagai inisiatif membantu Hospital terbabit.