Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Sarawak perkukuh peranan global dalam rawatan luka, melecur
  • KESIHATAN

Sarawak perkukuh peranan global dalam rawatan luka, melecur

Utusan Sarawak 2 days ago
AMANAT… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berucap pada Persidangan Antarabangsa Luka dan Melecur ke-5, 2025 di di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia, hari ini.

KUCHING: Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang perubatan apabila bandar raya Kuching dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Antarabangsa Luka dan Melecur ke-5 2025, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab antarabangsa dalam rawatan luka dan melecur.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata penganjuran persidangan berprestij itu mencerminkan keyakinan komuniti perubatan global terhadap keupayaan Sarawak sebagai pusat ilmu dan inovasi dalam bidang kesihatan.

RASMI… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan tetamu kehormat yang lain melakukan simbolik perasmian Persidangan Antarabangsa Luka dan Melecur ke-5 2025.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak kekal komited memperkasa sistem kesihatan negeri, terutamanya menerusi sokongan terhadap penyelidikan, pembangunan teknologi, serta latihan profesional kesihatan, khususnya dalam rawatan luka dan melecur.

“Sarawak amat berbangga menjadi tuan rumah buat kali kelima bagi persidangan ini yang kini berkembang dari segi skala, pengaruh dan impaknya. Ia mencerminkan bagaimana sains, empati dan kerjasama rentas negara boleh bergabung menjadi satu kekuatan luar biasa,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Luka dan Melecur ke-5 2025 di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan Sarawak menyokong penuh penganjuran lebih banyak acara seumpamanya pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan bandar raya Kuching sebagai pusat rujukan dan inovasi serantau dalam penjagaan luka dan melecur.

RAKAM KENANGAN… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan tetamu kehormat yang lain bergambar Persidangan Antarabangsa Luka dan Melecur ke-5 2025.

Persidangan tersebut turut dihadiri oleh pakar perubatan dari seluruh Malaysia serta negara luar seperti Indonesia, Taiwan, Bangladesh dan India, sekali gus menjadikannya antara persidangan terbesar dan paling berimpak tinggi yang pernah dianjurkan di rantau ini dalam bidang berkaitan.

“Kehadiran anda semua bukan sekadar simbol kerjasama antarabangsa, tetapi lambang komitmen global untuk mempertingkatkan ilmu, inovasi dan empati dalam penjagaan luka dan melecur,” kata beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Beliau menegaskan kecederaan melecur dan luka kronik bukan sekadar isu perubatan, tetapi pengalaman hidup yang meninggalkan parut fizikal dan emosi yang mendalam, bukan hanya kepada pesakit, malah keluarga dan masyarakat sekeliling.

Persidangan tersebut menampilkan pelbagai sesi ilmu dan praktikal melibatkan topik seperti pembedahan rekonstruktif, kejuruteraan tisu, pencegahan luka, serta pendekatan pelbagai disiplin dalam rawatan moden.

Turut hadir, Pengerusi Persidangan Antarabangsa Luka dan Melecur ke-5 2025 yang juga Pakar Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Umum Sarawak Dr. Ding Chu Yeh, Pengarah Hospital Umum Sarawak Dr. Ngian Hie Ung, Ketua Kepakaran Nasional Pembedahan Plastik dan Ketua Jabatan Pembedahan Plastik Hospital Kuala Lumpur Dr. Mohammad Ali Mat Zain, Ketua Pakar Klinikal Negeri dan Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Umum Sarawak Dr. Daphne Dewi dan Pengerusi Persatuan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Malaysia Dr. Shah Jumaat.

Oleh Norman B

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Tiada kaitan antara vaksin Covid-19 dan kematian mengejut di India – Laporan
Next: ‘Darah Anda, Harapan Mereka’ di Moonrise Garden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.