
Diogo Jota. Foto AFP
LISBON: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memberi penghormatan terakhir kepada rakan sepasukan antarabangsanya Diogo Jota yang meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya.
Bintang Portugal dan Liverpool berusia 28 tahun itu meninggal dunia bersama adiknya Andre selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di wilayah Zamora, Sepanyol.
“Ia bagai tidak masuk akal. Kami baharu sahaja bersama ketika bersama pasukan kebangsaan (meraih gelaran di Liga Negara-Negara bulan lalu), kamu baharu sahaja berkahwin,” tulis Ronaldo di akaun X.
“Kepada keluarga, isteri dan anak-anak kamu, saya mengucapkan takziah dan berharap mereka memperoleh kekuatan. Saya tahu kamu akan sentiasa bersama mereka. Berehatlah dengan tenang Diogo dan Andre. Kami semua akan merindui kamu.”
Sementara itu, bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang membawa masuk Jota ke Anfield pada 2020 meluahkan rasa pilu.
“Saya hancur hati. Dia bukan hanya pemain hebat, tapi manusia yang menakjubkan,” katanya di Instagram.
Di Anfield, ratusan penyokong mula membanjiri kawasan stadium dengan meletakkan jersi, bunga, selendang dan sepanduk tanda penghormatan buat pemain kesayangan mereka itu.
Jota yang menyertai Wolves pada 2017, sebelum menyinar dan menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan £45 juta (RM267 juta), menjaringkan 65 gol dalam lima musim bersama The Reds.
Musim lalu, dia menyumbang sembilan gol ketika Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20.
Adiknya, Andre Silva, 26, pula bermain sebagai pemain tengah untuk FC Penafiel dalam liga divisyen dua Portugal.
Jota dan isterinya dikurniakan tiga anak dan beliau sempat muat naik video perkahwinan mereka beberapa jam sebelum tragedi berlaku.
Bagi mengenang pemergian Jota, UEFA mengarahkan saat bertafakur dilakukan di semua perlawanan Euro Wanita 2025 termasuk perlawanan Portugal bertemu Sepanyol di Switzerland.
Rakan sepasukan di Portugal, Ruben Neves menulis di Instagram kemalangan terbabit.
“Mereka kata kita hanya kehilangan seseorang bila kita lupa mereka. Aku takkan pernah lupa kamu,” katanya.– AFP