
PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak.
Pelantikan tersebut disempurnakan menerusi penyerahan watikah pelantikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Timbalan Premier di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, hari ini.
Turut menyaksikan penyerahan watikah ialah Pengarah KEMAS Sarawak, Anisah Saidin.
Pelantikan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan berterusan beliau dalam memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar selaras dengan peranan utama KEMAS di negeri ini.
Dengan pengalaman luas dalam pentadbiran dan pembangunan wilayah, kepimpinan beliau dijangka mampu memperkukuh peranan Jawatankuasa Komuniti KEMAS di semua peringkat termasuk negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lokaliti, khususnya dalam aspek tadbir urus, perancangan strategik serta pelaksanaan program yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.
Jawatankuasa ini merupakan penjenamaan semula kepada Sahabat Komuniti KEMAS dan Jawatankuasa Aktiviti KEMAS yang bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara jabatan dan komuniti.
Ia juga berfungsi sebagai jambatan penyampaian dasar kerajaan serta menyokong pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak, kemahiran, bina insan, literasi dan pusat sumber di bawah kendalian KEMAS.
Pelantikan ini juga diharap dapat memperkukuh lagi keberkesanan peranan KEMAS sebagai agensi pembangunan masyarakat yang dekat dengan rakyat khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.
-UKAS