

RANAP… Kuarters lama yang kosong ranap dalam kebakaran malam tadi di Limbang.
LIMBANG: Sebuah kuarters lama milik Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak berpenghuni musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, berkata sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sekitar satu kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.08 malam.
Katanya sepasukan anggota melibatkan dua kenderaan bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran rumah terbabit.
“Setibanya pasukan di lokasi, kebakaran melibatkan sebuah kuarters lama milik JKR yang tidak berpenghuni dan musnah sepenuhnya. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya hari ini.
Beliau berkata pasukan keluaran operasi bertindak memadam kebakaran menggunakan teknik bertahan.
“Setelah operasi tamat dan memastikan tiada lagi punca api, pasukan keluaran operasi bertolak balik ke balai.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Oleh Adeng Edrus