
LIMBANG: Tindakan pantas dan tidak panik oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit berjaya menyelamatkan blok asrama pelajar daripada musnah dalam kejadian kebakaran malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bergegas ke lokasi yang terletak 43 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam.
Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan blok asrama pelajar dengan hanya lapan peratus daripada keseluruhan struktur terbakar dan tiada mangsa yang terlibat.
Difahamkan, kebakaran berjaya dikawal lebih awal oleh pihak sekolah menggunakan sembilan unit alat pemadam api dan air paip sebelum ketibaan pihak bomba.
Pihak bomba seterusnya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan api benar-benar dipadam sepenuhnya.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar 8.49 malam.
Oleh Adeng Edrus