
BEKENU: Seorang pemandu Proton Savvy bersama dua penumpang berjaya menyelamatkan diri ketika kenderaan yang mereka naiki terbakar dalam kejadian malam tadi.
Menurut kenyataan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.18 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 37 kilometer dari balai.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian di Jambatan Sibuti di Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu pada 7.54 dan mendapati sebuah Proton Savvy telah terbakar keseluruhan dan musnah seratus peratus.

“Berdasarkan maklumat daripada pemilik kenderaan, kebakaran berlaku secara tiba-tiba semasa dalam perjalanan dari Batu Niah ke Bekenu.
“Tindakan pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera.
“Kerja keseluruhan pemadaman api telah dilaksanakan bagi memastikan tiada punca api yang masih aktif sebelum pasukan berangkat pulang ke balai,” jelasnya.
Sehubungan itu, ketiga-tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita dilaporkan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Punca kejadian belum diketahui dan masih dalam sesiatan pihak bomba.
Oleh Adum Liu