
KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Unit Perhubungan Awam, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
Kata kenyataan itu, tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.
“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” kata kenyataan sama.
Berhubung kes Mahkamah melibatkan pertikaian Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kenyataan sama memberitahu, penuntut tanah boleh menggugurkan kes Mahkamah tersebut jika mereka mahu tanah mereka diukur melalui program ini dan seterusnya mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Penguasa Bahagian Tanah dan Survei terlibat.
Berkenaan dengan pajakan sementara atau provisional leases (PL) yang melibatkan tanah NCR, Kerajaan Sarawak telah memutuskan bahawa tanah NCR yang sahih perlu diasingkan sebelum PL dikeluarkan.
Bermula pada 24 Mac 2015, kerajaan telah memutuskan untuk tidak mempertimbangkan lagi permohonan tanah kerajaan untuk kegunaan perladangan komersil.
“Untuk membangunkan infrastruktur bagi kepentingan awam, kerajaan memerlukan tanah. Dalam melaksanakan pembangunan, pengambilan balik tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.
“Oleh kerana itulah, kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ia melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna,” kata kenyataan sama.
Sementara itu, kenyataan sama juga menjelaskan, sejak Oktober 2010 sehingga 31 Mei 2025, seluas 1,203,003 hektar atau 2,972,620 ekar tanah NCR telah pun diukur secara perimeter di bawah Peringkat Pertama Program tersebut.
“Daripada jumlah tersebut, seluas 935,760 hektar atau 2,312,263 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Melalui Peringkat Kedua pula, lebih kurang 120,608 hektar atau 298,022 ekar tanah NCR telah diukur secara lot individu melibatkan sebanyak 101,271 lot.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32,530 surat hakmilik tanah telah pun dikeluarkan di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
“Penyukatan tanah NCR ini hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan dari penuntut tanah NCR. Permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk disukat,” ujar kenyataan itu.
Untuk rekod, pada peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).
Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan.
-UKAS