
PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Yusof di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala serta membincangkan peluang kerjasama strategik dalam pembangunan ekonomi dan pelaburan antara Sarawak dan Brunei Darussalam.
Dato Seri Setia Erywan turut diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Darussalam, Pengiran Datin Paduka Shazainah Pengiran Dato Paduka Shariffudin, bersama dua pegawai kanan kementerian, Syamin Nabilah Daud dan Dayangku Nor Zaidah Pengiran Shahminan, serta Konsul Agung Brunei Darussalam di Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani Datuk Paduka Sheikh Abdul Gani.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta meneroka peluang kerjasama serantau secara inklusif dan mampan.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Dzulkornain Masron serta Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood. -UKAS