
KUCHING: Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Yusof, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada malam tadi bagi memulakan lawatan kerja rasmi di sini.
Ketibaan beliau pada 8.50 malam tadi disambut oleh Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani Datuk Paduka Sheikh Abdul Gani.
Mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei, Pengiran Datin Paduka Shazainah Pengiran Dato Paduka Shariffudin, bersama dua pegawai kementerian, Syamin Nabilah Daud dan Dayangku Nor Zaidah Pengiran Shahminan.
Dalam jadual lawatan kerja tersebut, Dato Seri Setia Erywan dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Timbalan Premier Sarawak, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pertemuan ini dijangka membincangkan peluang kerjasama dua hala antara Sarawak dan Brunei Darussalam, khususnya dalam bidang pelaburan, perdagangan rentas sempadan serta pembangunan ekonomi serantau.
Lawatan ini mencerminkan hubungan diplomatik yang kukuh antara Brunei dan Sarawak, serta memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. -UKAS